Bayi, remaja korban terbaharu Covid-19 global
- BungaTelang
- Mar 29, 2020
- 2 min read

Seorang bayi di Amerika Syarikat (AS) maut akibat jangkitan Covid-19 semalam, menurut pihak berkuasa di Illinois, membabitkan kes kematian dianggap luar biasa akibat pandemik global itu. Gabenor Illinois, JB Pritzker dalam sidang media berkata, bayi berkenaan antara korban dikaitkan jangkitan coronavirus itu dalam tempoh 24 jam. Jabatan Kesihatan Awam AS berkata, bayi berusia kurang setahun itu meninggal dunia di Chicago selepas diuji positif Covid-19. "Tidak pernah berlaku sebelum ini kematian Covid-19 membabitkan seorang bayi. Satu siasatan penuh akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian," kata Pengarahnya Ngozi Ezike dalam satu kenyataan. Pritzker mengakui amat terkejut dengan kematian itu. "Saya maklum berita sebegini agak sukar dipercayai terutama apabila membabitkan nyawa seorang bayi, lebih-lebih lagi buat keluarganya," katanya. Minggu lalu, pegawai kesihatan atasan Perancis, Jerome Solomon berkata, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun meninggal dunia di Ile-de-France, Paris. "Jangkitan serius coronavirus dalam kalangan golongan muda amat jarang ditemukan," kata Salomon. Minggu lalu, Jabatan Kesihatan Los Angeles di California, AS berkata, seorang remaja yang disahkan positif Covid-19 meninggal dunia. Agensi itu mendakwa kes itu rumit dan mungkin wujud penjelasan lain. Pelbagai kajian mendapati virus itu mudah menjangkiti pesakit berusia dan sesiapa dengan penyakit sampingan. AS mencatat jumlah jangkitan tertinggi kes coronavirus di dunia iaitu lebih 120,000 kes walaupun angka maut 2,010 dianggap jauh lebih rendah berbanding negara lain termasuk Itali, Sepanyol dan China, menurut angka dikeluarkan Universiti Johns Hopkins. Lebih 450 kematian di AS berlaku dalam tempoh lebih 24 jam sehingga tengah hari semalam. Bayi dari Chicago berkenaan antara 13 kematian yang dicatatkan di Illinois. Lebih 2,000 kematian dicatat di AS lewat semalam dengan suku daripadanya berlaku di Bandaraya New York, yang paling teruk terjejas. Presiden AS, Donald Trump bagaimanapun menolak cadangan perintah berkurung secara meluas ke atas New York dan kawasan sekitar susulan bantahan keras daripada pemimpin politik setempat serta kebimbangan tercetusnya situasi panik. "Kuarantin tidak perlu," Trump menulis tweet, lapan jam selepas beliau mengejutkan metropolitan New York yang terjejas teruk dilanda epidemik coronavirus dengan cadangan melaksanakan perintah berkurung terhadap penduduknya. Sumber: CNA #coronavirus #covid19 #perintahberkurung #newyork #donaldtrump
Comments