top of page
Mekar Sang Ungu: Blog2

Bukan 'darurat' rakyat Malaysia!

  • BungaTelang
  • Mar 21, 2020
  • 1 min read
Akhbar BH hari ini jelas melaporkan kehadiran ATM bukan bermakna darurat.

Sejak pagi semalam sudah mula heboh diperkatakan dalam kalangan nettizen kononnya kerajaan bakal mengenakan perintah darurat.

Bunga Telang sendiri menerima pelbagai mesej di aplikasi Whatsapp yang kononnya meminta orang ramai untuk membuat persediaan supaya membeli lebih banyak simpanan makanan.

Sebagai individu yang pernah berada dalam media, Bunga Telang tidak cepat percaya dengan mesej seperti itu sebaliknya menjadi agak marah bila masih ada yang tidak menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan maklumat.

Sedangkan banyak saluran dan media rasmi yang boleh mereka ikuti sama ada di televisyen, radio mahupun media sosial sendiri.

Malangnya sikap masyarakat kita lebih suka mendengar khabar angin selain ada pula yang mahu menjadi antara yang terawal menyebarkan berita tanpa menyelidik terlebih dulu kesahihannya.

Kasihan Bunga Telang melihat rakan-rakan media yang bertungkus lumus menyediakan bahan berita semata-mata untuk memberi maklumat dan kefahaman kepada rakyat berikutan wabak Covid-19 yang melanda negara masa kini.

Malangnya masih ramai yang salah anggap kononnya tindakan kerajaan yang menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula esok sebagai perisytiharan darurat.

Kehadiran ATM bantu PDRM pastikan rakyat patuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Sedangkan kehadiran mereka sekadar membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PRDM) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan sikap segelintir masyarakat sendiri yang gagal mematuhi arahan berkenaan.

Sudahnya hari ini ramai pula yang keluar bersesak ke pasar dan pasaraya besar untuk membeli barangan keperluan seperti tidak hiraukan risiko untuk turut dijangkiti Covid-19.

Sedih apabila ada yang bersikap pentingkan diri sendiri membeli barangan, seolah-olah tiada lagi esok untuk mendapatkan semua keperluan berkenaan. Sedangkan kerajaan sudah memberi jaminan bahawa bekalan makanan akan mencukupi.

Mungkin pihak pasaraya sendiri perlu lebih bertegas dengan mengehadkan bilangan pelanggan untuk berada dalam premis dalam tempoh masa tertentu selain mengawal jumlah barangan keperluan yang perlu dibeli bagi setiap pelanggan.

Semoga rakyat Malaysia cepat sedar.


 
 
 

Comments


  • twitter
  • linkedin

©2020 by BungaTelang. Proudly created with Wix.com

bottom of page