Individu darah A paling berisiko Covid-19
- BungaTelang
- Mar 20, 2020
- 2 min read

Kajian dijalankan di wilayah Wuhan dan Shenzhen di China, tempat bermulanya coronavirus memberi petunjuk, kumpulan darah A mempunyai risiko tinggi dijangkiti seterusnya mengalami gejala lebih serius.
Manakala mereka dalam kumpulan darah O pula dilihat lebih tahan rintangan Covid-19, berdasarkan kajian awal pesakit di China.
Penyelidik perubatan di China mengambil corak kumpulan darah lebih 2.000 pesakit yang dijangkiti di Wuhan dan Shenzhen serta membandingkannya dengan penduduk tempatan yang sihat.
Mereka mendapati, pesakit yang memiliki darah jenis A menunjukkan kadar tinggi jangkitan diikuti gejala lebih teruk.
Walaupun kajian masih di peringkat awal dan lebih banyak penyelidikan diperlukan, mereka menggesa kerajaan dan kemudahan kesihatan mempertimbangkan jenis darah berbeza apabila merancang langkah pencegahan atau merawat pesakit yang dijangkiti virus dikenali Sars-CoV-2 itu.
"Individu dengan kumpulan darah A terutamanya mungkin memerlukan lebih perlindungan bagi mengurangkan peluang mendapat jangkitan.
"Pesakit dengan kumpulan darah A yang dijangkiti Sars-CoV-2 mungkin memerlukan pengawasan lebih teliti dan rawatan lebih agresif," tulis penyelidik diketuai Wang Xinghuan dari Pusat Kajian Perubatan Berasaskan Bukti di Hospital Zhongnan Universiti Wuhan.
Menurut kertas penyelidikan diterbitkan dalam Medrvix.org, berbeza dengan individu dalam kumpulan darah O, mereka memiliki risiko amat rendah mendapat jangkitan berbanding kumpulan darah bukan-O.
Daripada 206 pesakit yang maut akibat Covid-19 di Wuhan, 85 daripadanya tergolong dalam darah jenis A atau 63 peratus lebih banyak berbanding 52 yang memiliki darah O. Corak itu wujud dalam semua kumpulan usia dan jantina.
“Mungkin ada baiknya memperkenalkan jenis darah ABO untuk kedua-dua pesakit dan kakitangan perubatan sebagai rutin pengurusan Sars-CoV-2 dan jangkitan coronavirus lain, seterusnya memperhalusi pilihan pengurusan dan penilaian risiko pendedahan untuk rakyat semua peringkat," tulis Wang dalam kertas penyelidikan itu.
Kajian dijalankan oleh saintis dan doktor dari bandar seluruh China termasuk Beijing, Wuhan, Shanghai dan Shenzhen.
Setakat hari ini novel coronavirus menjangkiti lebih 244,500 orang dan meragut lebih 10,000 nyawa di seluruh dunia menurut Universiti Johns Hopkins yang mengesan kes dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sumber lain.
Sumber: SCMP
#coronavirus #covid19
Comments