top of page
Mekar Sang Ungu: Blog2

Jom OderFood untuk Syria

  • BungaTelang
  • Feb 20, 2020
  • 1 min read



Pesan makanan boleh sampai ke Syria? Biar betul? Ada ke servis penghantaran sampai ke sana?

Ini bukan servis biasa-biasa tetapi inilah cara Syria Care membantu pelarian perang di Syria menjelang bulan Ramadan nanti.

Khidmat pesanan OderFood ini sebenarnya sudah diperkenalkan pada 20 November tahun lalu dan berjaya menyumbangkan 4,450 unit pek untuk dimanfaatkan 1,750 pelarian di sana.



Kempen Ramadan Al Khair 8.0 dan OderFood ini juga untuk membantu rakyat Syria menghadapi musim sejuk dan bulan Ramadan.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Baki berkata, lebih 800,000 rakyat Syria membanjiri sempadan Syria-Turki di utara Idlib, semata-mata mahu elak pertempuran di negara mereka.

"Lebih menyedihkan hampir 60 peratus mangsa adalah kanak-kanak. Bagi Ramadan tahun ini, tempahannya bermula semalam (Rabu, 19 Februari) dan proses penghantaran serta agihan makanan akan dilaksanakan sepanjang bulan puasa nanti," katanya.

Majlis itu dirasmikan Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) yang juga isteri kepada Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Mohamad.

Sama seperti membuat pesanan di GrabFood dan Food Panda, bantuan sumbangan boleh dibuat secara terus dari rakyat Malaysia kepada pelarian Syria di negara terbabit.

Apa yang perlu dilakukan hanya melayari laman sesawang www.syriacare.org.my dan menekan butang “OderFood” sebelum membuat pilihan pesanan makanan.

Dua pakej disediakan iaitu makanan siap masak berharga RM15 dan pek bekalan makanan sebulan merangkumi keperluan asas dengan harga RM150.


Syria Care menyasarkan kutipan sebanyak RM7.5 juta yang dijangka dapat dimanfaatkan kepada lebih sejuta pelarian Syria menjelang Ramadan ini.

Jadi tunggu apa lagi, jom kita OderFood di www.syriacare.org.my/oderfood


 
 
 

Comments


  • twitter
  • linkedin

©2020 by BungaTelang. Proudly created with Wix.com

bottom of page