top of page
Mekar Sang Ungu: Blog2

Pisang Goreng ‘Kak Ton’ resepi asli Terengganu

  • BungaTelang
  • Feb 27, 2020
  • 2 min read

Pisang goreng atau goreng pisang adalah antara hidangan minum petang yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Namun, Bunga Telang cukup tertarik dengan pisang goreng ‘Kak Ton’ yang gerainya terletak di Persiaran Ara, Bandar Sri Damansara.

Pisang yang dijual bukan saja rangup di luar, tetapi isi pisang terasa lembut dan kekal rasa manisnya di dalam, menambahkan kesedapan apabila dinikmati ketika masih panas.

Ketika ditanya mengenai kesedapan pisang goreng jualannya, Zaiton Harun, 47 berkata, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia.

Amy Search antara yang pernah membeli di gerai Kak Ton. Kredit gambar Facebook Kak Ton Goreng Pisang BSD.

Sebaliknya bancuhan menggoreng dibuat sendiri menggunakan tepung beras, berbeza daripada kebanyakan penjual pisang goreng lain yang menggunakan tepung gorengan segera.

“Saya berasal dari Terengganu, jadi saya gunakan resepi yang biasa digunakan kebanyakan masyarakat di negeri saya untuk membuat bancuhan tepung goreng pisang.

“Tepung yang dibancuh sendiri lebih sedap dan membuatkan pisang jadi lebih rangup. Mungkin itu sebabnya orang ramai sukakan pisang goreng kami,” katanya yang berasal dari Manir, Terengganu.

Kak Ton yang memulakan perniagan itu sejak 20 tahun lalu dibantu suami, Aziz Abdul Rahman, 57 dan anaknya Zulbakar Aziz, 24 serta seorang lagi pekerja.

Setiap hari beliau menjual 50 hingga 60 kilogram pisang abu selain gorengan lain termasuk keropok lekor, keledek goreng, ubi ketuk, cekodok dan ubi kayu goreng.

Daripada pengamatan Bunga Telang, pelanggan Kak Ton adalah daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kebanyakan mereka membeli bukan seringgit dua membuatkan kadang kala pelanggan terpaksa menunggu agak lama.

‘Sukar untuk jangka bila waktu pelanggan ramai, ada kalanya jam 2 petang sudah ramai yang beratur menunggu giliran, tetapi ada masanya mereka datang waktu lain pun tetap beratur panjang,” katanya.

Menurut Kak Ton, gerainya dibuka mulai 1 tengahari hingga 6.30 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Bagi anda yang mahu mencuba pisang goreng Kak Ton ini, Google Map saja, anda akan terus dibawa ke sana.


Comentários


  • twitter
  • linkedin

©2020 by BungaTelang. Proudly created with Wix.com

bottom of page