"Terlalu berat dan sukar menggambarkan perasaan saya" - Ibu Allahyarham Ashraf Sinclair.
- BungaTelang
- Feb 23, 2020
- 2 min read
Kredit gambar: Instagram Khadijah Abdul Rahman.
Hanya selepas empat hari pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair, ibunya Khadijah Abdul Rahman memiliki kekuatan untuk menulis "Inalilalahi wainna illaihi rojiun" mengiringi sekeping foto jambangan bunga tertera tulisan 'Rest In Love Ashraf Sinclair'. Khadijah dalam entri laman sosial, Instagram (IG), dengan nama Dida Sinclair mengakui sukar buat dirinya meluahkan perasaan selepas pemergian mengejut arwah anak sulungnya itu. Pada perkongsian itu beliau turut melahirkan ucapan penghargaan kerana perhatian umum terhadap arwah. "Saya tidak tahu hendak bermula dari mana. Terlalu berat dan sukar menggambarkan perasaan saya ketika ini. “Bagaimanapun, saya perlu mengatakannya bagi pihak anak saya, Ashraf. Terima kasih kepada semua insan dalam dunia ini yang berkongsi kesedihan dan kesakitan atas pemergian Ashraf Daniel Mohamed Sinclair.
"Allah SWT mempunyai rancangan untuknya dan kami dengan tulus hati reda atas pemergiannya. Walaupun sukar untuk menerima, tetapi semoga kehidupannya selama 40 tahun ini menjadi terbaik untuk alam akhirat." - Khadijah Abdul Rahman.
Kredit gambar: Instagram Khadijah Abdul Rahman.
Penaung Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) itu berkongsi rasa pada ruang komen entri yang menarik perhatian lebih 51,000 suka sejak dimuat naik. Ia turut menarik ebih 1,800 komen mendoakan yang terbaik buat arwah dan ahli keluarganya. Antara selibriti meninggalkan komen termasuklah Yasmin Hani dan artis dari Indonesia, Dewi Sandra. YAWA adalah sebuah organisasi badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar membabitkan kanak-kanak dan remaja. Bunga Telang yang pernah menemubual Khadijah berhubung YAWA yang dibangunkan sejak tahun 90an, dimaklumkan beliau bahawa anak-anaknya sejak kecil dididik untuk mengasihi alam sekitar. Tidak hairanlah apabila arwah selalu disanjung dengan sifat pengasih hinggalah saat menghembuskan nafas terakhir. Pemergian arwah Ashraf disahkan Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), Kuningan, Jakarta, pada 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia, Selasa lalu. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, yang juga artis terkenal, Bunga Citra Lestari dan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair, 10 tahun.
Comments