top of page
Mekar Sang Ungu: Blog2

Wajah biasa seribu cerita jadi model RIhijab Rizalman Ibrahim

  • BungaTelang
  • Mar 17, 2020
  • 2 min read

Tujuh wanita dari usia 20-an hingga 70-an terpilih menggayakan RIhijab rekaan Rizalman Ibrahim. Kredit gambar Instagram Rizalman71.

Pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim menampilkan kelainan apabila memaparkan peminatnya sendiri sebagai ‘model’, memperagakan jenama tudung keluarannya yang bakal dilancarkan bulan depan.

Lari dari kebiasaan menggunakan khidmat model profesional, RIhijab yang dijangka berada di pasaran 2 April ini sebaliknya memaparkan wajah biasa sebagai lambang personaliti wanita yang mewakili seluruh peringkat usia dari 20-an hingga 70-an.

Tujuh wanita pelbagai latar belakang dipilih sebagai personaliti RIhijab bagi menggayakan rekaan tudung pertama di bawah jenama Rizalman Ibrahim dalam satu ujibakat yang diadakan akhir tahun lalu.

Namun disebalik pemilihan mereka, setiap personaliti mempunyai cerita yang bukan saja mampu memberi inspirasi kepada masyarakat tetapi juga menyerlahkan peribadi individu terpilih.

“Saya mahu kempen ini meraikan dan menampilkan individu hebat yang bakal mewakili wanita Muslim seluruh dunia sebagai contoh terbaik yang pernah kita dengar dari kisah para isteri Baginda Rasulullah S.A.W.

“Malah yang paling saya terharu, ada bekas ‘pelacur’ sendiri datang untuk berkongsi cerita sebagai teladan kepada kita semua," katanya menerusi perkongsian di Instagramnya mengenai detik pemilihan personaliti RIhijab.

“Semoga sehelai kain berpotongan segi empat ini akan membantu anda menghijabkan segala aurat dan aib, sekali gus mengangkat martabat sebagai wanita Muslim sejati yang patuh akan perintah Allah." - Datuk Rizalman Ibrahim.
Ujibakat Personaliti RIhijab Disember lalu mendapat sambutan luar dugaan. Kredit gambar Instagram Rizalman71.

Ujibakat mencari enam personaliti RIhijab yang berlangsung Disember lalu mendapat sambutan di luar jangkaan apabila lebih 300 peserta hadir sehingga memaksa sesi berakhir hampir lewat malam.

Rizalman sendiri menyatakan rasa seronok dapat mengajar wanita termasuk mereka yang dianggap seperti ibunya sendiri beraksi di depan kamera.

Ketika Konsert Kesuma Jiwa 2020 yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya Februari lalu, pereka dengan 30 tahun pengalaman mengumumkan pengundurannya dalam arena fesyen tetapi akan menumpukan fokus dalam bidang lain termasuk hiasan dalaman, kosmetik dan kecantikan.

Kesuma Jiwa yang menggabungkan muzik dan fesyen selain penampilan penyanyi Dayang Nurfaizah mencipta sejarah dalam industri hiburan tanahair apabila tiket konsert berkenaan habis terjual dalam tempoh 15 minit.


Comentários


  • twitter
  • linkedin

©2020 by BungaTelang. Proudly created with Wix.com

bottom of page