top of page
Mekar Sang Ungu: Blog2

Ajal di hujung sempadan

  • BungaTelang
  • Mar 3, 2020
  • 1 min read

Pelarian Syria di sempadan Turki cuba memasuki Greece. Kredit gambar Syria Care.

Sepanjang hayat Ahmed Abu Emad tidak pernah mengecapi nikmat keamanan seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Selepas melalui segala sengsara akibat konflik yang kini memasuki tahun kesembilan, dia dan keluarganya yang berasal dari Aleppo, Syria berharap suatu hari nanti berpeluang memulakan hidup baru di negara ketiga.

Jumaat lalu, saat yang ditunggu tiba apabila Presiden Recep Tayyib Erdogan mengumumkan membuka pinta sempadannya dengan Greece bagi membolehkan pelarian Syria yang berada di Turki memasuki negara Eropah.

Tanpa menoleh ke belakang, keluarganya segera ke Ipsala, di sempadan Turki-Greece untuk memulakan perjalanan.

Namun usaha menyeberanginya tidak mudah kerana pihak berkuasa di seberang sempadan mengawal ketat perbatasan yang dipagari kawat berduri.

Ribuan pelarian Syria di sempadan Tukri menanti peluang memasuki Greece. Kredit gambar Syria Care.

Malang tidak berbau, ketika dalam kekalutan, sebutir peluru yang dilepaskan pihak berkuasa Greece tepat mengenai kerongkongnya.

Ahmed tumbang dan kemudian menemui ajal di tempat kejadian.

Segala impiannya berakhir di situ.

Di hari yang sama, tragedi yang serupa turut menimpa sekumpulan pelarian Syria yang cuba menyeberangi Laut Aegean untuk ke Greece.

Agensi berita AFP mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki mati lemas selepas bot yang dinaikinya karam di luar pantai pulau Lesbos.


Razali Awang

Sukarelawan Media Syria Care

(Yang kini berada di Gazientep, Sempadan Turki-Syria)

Comments


  • twitter
  • linkedin

©2020 by BungaTelang. Proudly created with Wix.com

bottom of page