top of page
Mekar Sang Ungu: Blog2

Baru usia 17, bangunkan laman web info kes Covid-19 global

  • BungaTelang
  • Mar 16, 2020
  • 2 min read

Kredit gambar: Google

Pelajar sekolah tinggi dari Seattle, Washington di Amerika Syarikat (AS) Avi Schiffmann, mendapat pujian kerana membangunkan laman web yang boleh memberi maklumat kes terkini jangkitan coronavirus atau Covid-19 di seluruh dunia.

Remaja 17 tahun itu mula membangunkan laman web pengesan coronavirus https://ncov2019.live/data sejak sambutan Krismas Disember 2019 apabila kes jangkitan itu kali pertama muncul di Wuhan, China dan belum merebak secara global.

Kini laman web itu sudah dilawati lebih 35 juta pengunjung dari seluruh dunia. Ia mengesan jumlah kematian, kes tempatan dan global mengikut negara serta menyediakan peta interaktif, maklumat mengenai penyakit serta kemas kini di Twitter.

Maklumat mengenai jangkitan dikemas kini setiap minit berdasarkan angka terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pusat Kawalan Penyakit AS (CDC) serta agensi kesihatan setiap negara yang terlibat.

Menerusi temu bual dengan democracynow.org, Schiffmann menjelaskan, beliau pada mulanya membangunkan laman web itu bagi memudahkannya melihat data dan fakta mengenai coronavirus yang tidak berat sebelah serta sarat dengan iklan, memandangkan maklumat mengenainya sukar diperoleh.

"Ia seperti anda boleh lihat di telefon bimbit dan segera mendapat maklumat pantas seperti jumlah kes, jumlah kematian serta maklumat berkaitan setiap negara atau kes individu tanpa perlu melalui laman web kerajaan atau perlu memuat turun menerusi PDF," katanya.

Laman web pengesan coronavirus nCoV2019.live mula dibangunkan sejak Disember tahun lalu. Kredit gambar Google

Ditanya bagaimana dirinya mampu membangunkan laman web rumit dan teliti walaupun baharu berusia belasan tahun, pelajar sekolah tinggi Mercer Island itu berkata, beliau sudah mahir dalam kod pemprograman sejak 10 tahun lalu namun baharu mempelajari pembangunan web selama beberapa bulan secara dalam talian.

"Banyak yang saya pelajari secara online misalnya jika saya tidak tahu hanya Google serta 'trial and error' dan akhirnya menyelesaikannya sendiri," katanya.

Bagaimana beliau berupaya mengumpul maklumat secara menyeluruh di seluruh dunia dan memberi data terkini, remaja itu menjelaskan, selain WHO dan CDC untuk maklumat di tanah air, setiap negara memiliki agensi kesihatan masing-masing dan dirinya berupaya mengambil data boleh dipercayai untuk dimasukkan secara automatik di laman webnya menggunakan kaedah digelar 'web scrape'.

Apa yang mahu diperbaiki untuk laman webnya, Schiffmann berkata, oleh kerana beliau banyak menerima e-mel berunsur negatif mengenai laman webnya, justeru dirinya turut menambah maklumat lebih positif seperti berapa ramai mangsa yang pulih dan maklumat lain.

Selain itu, pembangun laman web genius itu bakal memaparkan pengesan vaksin di laman webnya untuk negara yang mula menjalankan penyelidikan atau kajian mencari penawar dan antiviral bagi mengubati mangsa coronavirus.


Sumber: democracynow.org

ความคิดเห็น


  • twitter
  • linkedin

©2020 by BungaTelang. Proudly created with Wix.com

bottom of page