top of page
Mekar Sang Ungu: Blog2

Covid-19 lebih pantas merebak di luar China

  • BungaTelang
  • Mar 4, 2020
  • 3 min read

Peningkatan kes di Iran, Korea Selatan cetus kebimbangan global

Iran gagal mengesahkan virus Covid-19 sudah merebak di negara berkenaan sejak sebulan lalu. Kredit gambar AFP.

Penyebaran wabak coronavirus dilihat berlaku lebih pantas di luar China berbanding dalam negara. Lapangan terbang di negara teruk terjejas kini mengambil langkah meningkatkan imbasan terhadap pengunjung.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, peningkatan

lapan kali ganda jangkitan di luar China dalam tempoh 24 jam, menjurus risiko penyebaran coronavirus atau Covid-19 kini amat tinggi di peringkat global.

Dalam satu taklimat di Geneva, beliau berkata, wabak di Korea Selatan, Itali, Iran dan Jepun mencetuskan kebimbangan terbesar.

Namun wujud bukti bahawa pemantauan rapat berkesan di Korea Selatan, negara yang terjejas teruk di luar China selain keyakinan epidemik itu dapat dibendung di sana.

Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence berkata, ketika lapangan terbang di seluruh Korea Selatan dan Itali mengambil langkah mengimbas semua pengunjung terhadap jangkitan coronavirus, sekatan perjalanan di AS akan dilanjutkan.

Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS berkata, industri itu menjangka sejuta ujian coronavirus akan dijalankan menjelang hujung minggu ini.

Angka kematian global setakat ini melebihi 3,000 orang dengan jumlah kematian di Itali meningkat daripada 18 kepada 52 orang manakala Iran mencatat 77 kematian semalam.

Latvia, Arab Saudi, Senegal dan Maghribi masing-masing melaporkan kes pertama, menjadikan lebih 70 negara mencatat kes jangkitan Covid-19.

Covid-19 mula dikesan di Wuhan akhir 2019 dan sejak itu menjangkiti lebih 90,000 orang, majoriti di China. Kredit gambar AP.

Di luar jangkaan

Seorang pegawai kanan AS meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kes di negara itu yang sehingga kini mencatat lebih 90 kes selain enam kematian. Lebih banyak ujian pastinya

menjurus pertambahan kes yang disahkan.

Sementara itu, Korea Selatan melaporkan 600 kes baharu coronavirus dengan tiga lagi kematian, majoritinya adalah penganut gereja Shincheonji di Daegu, menjadikan jumlah jangkitan kepada 4,812, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit semalam.

Wuhan, pusat epidemik tercetusnya coronavirus, menutup 16 hospital khas pertama yang dibina untuk merawat kes itu, menurut penyiar China, CCTV dengan penurunan kes mendadak di Hubei, wilayah sekitar Wuhan.

Virus itu mula dikesan di Wuhan akhir 2019 dan sejak itu menjangkiti lebih 90,000 orang dengan majoriti di China. Negara itu melaporkan 125 kes baharu semalam, paling rendah dalam

tempoh enam minggu selain 31 kematian baharu.

Di luar China, ada lebih 8,700 jangkitan dan secara keseluruhan lebih 3,100 maut di peringkat global.

Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Perubatan Iran berkata semalam, wabak di negara itu menjejaskan 2,336 orang dengan 77 kematian, jumlah paling tinggi dicatat di luar China.

Ironinya di Iran, ketua perkhidmatan kecemasan perubatannya sendiri turut dijangkiti, malah kes jangkitan dalam kalangan 290 Ahli Parlimen meningkat kepada 23 orang atau lapan peratus dengan seorang pembuat dasar meninggal dunia minggu lepas.

Dalam sepucuk surat terbuka Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani kepada pemimpin agungnya,

Ali Khamenei, beliau menggesa pembuat dasar mengelak berada di tempat awam bagi

menghalang penyebaran virus.

Larijani juga menyokong penggantungan sesi terbuka Parlimen menerusi suratnya kepada Khamenei yang ditulis minggu lalu susulan penularan coronavirus.

Dalam tempoh tidak sampai dua minggu kes coronavirus disahkan di Iran meningkat mendadak,

membuatkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan rejim membendung virus itu mula goyah sehingga memburukkan lagi situasi ekonominya.

Selepas mendakwa wabak itu dapat dikawal seminggu lalu, jumlah kes dilaporkan secara rasmi meningkat dua kali ganda hampir setiap hari.

Dalam tindakan dianggap terlewat, unit tentera elit Iran, Pengawal Revolusi Islam berkata, hospitalnya kini memfokuskan menerima pesawat coronavirus dan bersedia mendirikan kemudahan sementara dengan tambahan 8,000 katil.

Namun kalangan profesional perubatan bimbang tindakan itu terlalu lewat dan tindak balas

lambat itu membolehkan virus merebak tidak terkawal.

"Pihak berkuasa gagal mengesahkan virus itu sudah merebak di Iran selama sebulan dan kemudian tersilap percaturan terhadap impak penyakit dengan memaklumkan rakyat, ia seperti serangan selesema," kata seorang doktor di wilayah Khuzestan, Iran.

Katanya, lebih ramai pegawai takut memberi amaran kepada rakyat berkenaan mudahnya virus ini tersebar sekali gus melumpuhkan negara fahaman Syiah itu.


Sumber: CNN, Reuters, Arab News


Comments


  • twitter
  • linkedin

©2020 by BungaTelang. Proudly created with Wix.com

bottom of page