Promosi album tanpa peminat, media, BTS pilih YouTube
- BungaTelang
- Feb 25, 2020
- 2 min read

Kredit gambar: AFP
Tanpa kehadiran media dan peminat, kumpulan muzik terkenal Korea Selatan, BTS tetap mengadakan sidang akhbar sempena promosi album terbaru mereka. Di tengah kebimbangan merebaknya wabak coronavirus atau Covid-19 pihak pengurusan kumpulan Kpop mega itu, Big Hit Entertainment mengambil langkah selamat menyiarkannya secara langsung menerusi YouTube. Album terbaharu BTS, Map Of The Soul: 7 dilancarkan semalam dengan soalan dihantar kepada anggota kumpulan berkenaan menerusi e-mel. Langkah itu tidak menghalang prospek jualan album yang dikeluarkan sejak 21 Februari lalu. Menurut Chart Data, ia sudah menjadi album global laris dijual tahun ini, dengan laporan tempahan awal sebanyak 4.02 juta. Map Of The Soul: 7, album studio ketujuh BTS, mengungguli carta Album Teratas iTunes di 91 negara dan rantau dari Mesir sehingga Russia. Album dengan 20 lagu termasuk lima runut bunyi daripada hasil kerja kumpulan menampilkan lagu utama 'On', di mana penyanyinya, Suga mengatakan ia memaparkan tenaga luar biasa anggotanya. "Lirik yang ditulis menggambarkan kebimbangan dan ketidaktentuan dalam tempoh tujuh tahun sejak kumpulan itu diperkenalkan pada 2013.

Kredit gambar: Big Hit Entertainment.
"Kami sudah bersama selama tujuh tahun dan lirik lagu menunjukkan bagaimana kami belajar untuk berdepan keperitan, kesedihan dan kesakitan akan datang," kata Suga. Kesemua 20 lagu dalam album itu berada dalam carta Lagu Teratas iTunes di Amerika Syarikat. Kumpulan itu berjaya memecah pelbagai rekod termasuk mencatat tiga album tempat teratas di AS dalam tempoh setahun, namun kini memfokuskan mencari jati diri.
"Rekod amat penting, namun jika pendengar mampu menemui kebahagian daripada muzik kami, itu adalah hasil terbaik yang kami capai." - Jin, BTS.
Selain Jin dan Suga, BTS dianggotai V, Jungkook, Jimin, J-Hope dan RM. Pada masa sama, bimbang dengan jangkitan Covid-19, artis Kpop lain seperti Seventeen, Taeyeon dan NCT Dream terpaksa membatalkan atau menunda konsert mereka yang sepatutnya dijadualkan di Singapura. Sumber: The Straits Times, Korea Herald #BTS #Covid19 #coronavirus #Kpop
Comments